Baru lagi tiga hari lepas di sebuah stesen radio seorang ustaz mengulas tentang penyakit mental. Ulasannya bagi saya sangat mengecewakan.
Antara intipatinya disuruh mereka yang tertekan ini membandingkan dengan orang yang lebih susah dan jangan dilayankan sangat perasaan, gunakan akal katanya. Sampai boleh mengatakan, ada orang yang sengaja dan mengada-ngada buat-buat stress, akhirnya jadi betul-betul stress.
Semalam terbaca pula status facebook seorang ustaz yang nadanya lebih kurang sama. Menyebut tentang banyaknya terima video bunuh diri. Sangka saya hendak nasihatkan orang untuk tidak menyebarkan. Tetapi rupanya mempersoalkan kenapa nak tamatkan nyawa hanya kerana tertekan. Kemudian disuruh juga bandingkan dengan orang yang lebih susah.
Dan bermacam jenis bandingan lagi seperti katanya jika kita habis duit simpanan, ada orang lain yang tidak pernah ada duit simpanan, jadi sekurang-kurangnya kita pernah merasa ada duit. Ayat-ayat dengan perkataan "sekurang-kurangnya" ini sangatlah tidak membantu. Bahkan kita telah memperkecilkan kesusahan orang lain.
Nasihat seperti ini jika diberikan sebagai nasihat umum mungkin masih boleh diterima. Saya sendiri biasa mendengar nasihat begini dalam majlis ilmu.
Tetapi apabila disentuh mengenai bunuh diri, nasihat begini tidak sesuai bahkan bahaya diberikan.
Banyak faktor kenapa orang bunuh diri. Bukan setakat kerana tiada kerja, tiada duit dan masalah keluarga seperti yang biasa orang sebutkan.
Kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Apa trauma yang pernah mereka hadap sepanjang hidup. Kesengsaraan yang bagaimana yang mereka tanggung.
Apabila mereka datang mengadu penderitaannya kepada kita, menyuruh mereka membandingkan dengan kesusahan orang lain langsung tidak membantu keadaan mereka.
Contohnya ada orang mengadu sakit kerana tangannya cedera, adakah kata-kata seperti "Ada orang langsung tiada tangan, sekurang-kurangnya kau merasa ada tangan." akan membantu keadaan mereka dan kena pada tempatnya?
Tiada empati di situ. Seolah-olah kita memperkecilkan penderitaan mereka sedangkan kita tidak dapat rasa apa yang mereka tanggung.
Apabila kita terus memberi nasihat perbandingan begini, kita telah pun menghukum diri mereka.
Mereka akan rasa diri mereka bertambah teruk kerana dilihat orang sebagai terlalu lemah dan terlalu cepat mengalah.
Mereka akan takut selepas ini untuk berterus-terang kepada orang lain tentang apa yang mereka fikir dan rasa kerana takut terus dihukum begini.
Sedangkan jika kita tahu lebih awal kita boleh menyelamatkan mereka daripada bertindak membunuh diri.
Bagaimana kita nak tahu lebih awal jika mereka menyembunyikannya? Ramai orang tidak berani memberitahu orang lain kerana sikap masyarakat kita yang begini. Terlalu cepat menghukum.
Seharusnya kita mengambil sikap cuba memahami terlebih dahulu.
Tidak tertanya-tanyakah kita bagaimana mereka ini boleh mengambil keputusan sebesar itu dalam hidup mereka? Mereka juga manusia sama seperti kita. Tidak tertanya-tanyakah kita apa sebenarnya yang mereka tanggung? Apa yang mereka fikirkan?
Keputusan dan tindakan mereka itu bukan semudah-mudahnya boleh berlaku. Bukan keputusan satu malam. Tidak ada manusia yang waras yang suka-suka ingin menghabiskan nyawa mereka.
Tahukah kita apa yang mereka telah lalui sepanjang hidup? Tahukah kita trauma apa yang mereka hadapi sejak kecil? Tahukah kita bagaimana tahap mental mereka?
Bunuh diri sangat berkait dengan masalah mental. Maka kajilah terlebih dahulu apa itu masalah mental dan bagaimana fikiran hendak membunuh diri itu boleh terjadi.
Bertanyalah dulu kepada yang ahli. Supaya kita tahu apa psikologi mereka yang hendak membunuh diri ini.
Kalau pun benar mereka telah berputus asa begitu sahaja tanpa mahu berusaha lagi seperti anggapan kita, hanya Allah Taala yang boleh menilainya. Hanya Allah Taala yang tahu atas sebab apa putus asa itu. Adakah waras atau tidak waktu pertimbangan putus asa itu. Serahkanlah pada Allah Taala. Tidak boleh kita persoalkan kenapa seseorang itu mudah sangat fikir nak akhiri hidup.
Waktu begini, mereka perlukan "reassurance", tenteramkan hati mereka. Bantu mereka buangkan ketakutan dan ketidaktentuan fikiran mereka. Beritahu mereka yang kita ada bersama mereka. Buka jalan untuk mereka bagaimana hendak dapatkan bantuan.
Nasihatkan masyarakat untuk memerhati dan mengambil berat tentang ahli keluarga dan orang sekeliling dalam keadaan penuh tekanan ini adalah lebih baik.
Jangan terus hakimi mereka. Mereka sendiri tidak mahu ada fikiran untuk membunuh diri itu. Bukan semudah-mudahnya untuk mengawal fikiran itu.
Ada fikiran untuk bunuh diri (suicidal thought) bukan sesuatu yang normal bagi seorang manusia. Jadi pendekatannya tidak boleh semberono. Perlu dikaji dan diselidiki terlebih dahulu.
Dan percayalah tiada orang yang senang-senang hendak membunuh diri. Tindakan itu tindakan yang berat untuk diri mereka sendiri. Malah fikiran ke arah itu pun sudah menyeksakan mereka.
Jadi adalah lebih baik berikan kata-kata harapan bukannya hentaman dan perbandingan.
Harapan dan kata-kata yang menunjukkan kita cuba memahami mereka, itu adalah lebih baik.
Saya percaya para ustaz yang memberi nasihat begini orang yang terpelajar dan cintakan ilmu. Ilmu Allah itu luas dan bukan setakat ilmu agama sahaja. Semuanya berkait dan diperlukan dalam dakwah kita kepada masyarakat.
Sejujurnya habis seluruh tenaga saya menulis semua ini.
Saya terlalu bimbang apabila semakin banyak nasihat sebegini tersebar, semakin ramai ahli masyarakat kita yang tidak cuba memahami tetapi terus menghukum.
Seterusnya semakin ramai orang yang tertekan akan takut untuk meluahkan dan mendapatkan bantuan.
Wallahua'lam.
Suka untuk saya kongsikan di sini link live semalam oleh pakar psikiatri tentang bunuh diri. Sedikit sebanyak boleh memberi input.
https://fb.watch/6qwlUDTSqi/
"Monday Blues With Dr Hazli 280621
"Menangani keinginan untuk mati"
Walau sebelum pandemik, ujian dan dugaan terus melanda kehidupan seharian semua jenis golongan di Malaysia. Tidak semuanya mempunyai tahap ketahanan yang sama. Cuma sejak pandemik, beban ujian itu semakin meningkat. Jadi siapalah kita untuk menghukum?
Hukuman diserahkan pada Sang Pencipta, saya sebagai manusia biasa hanya mampu berkongsi bagaimana kita boleh cuba menangani keinginan untuk mati. Ianya tidak mudah tapi boleh dilakukan.
Sama-sama kita berkongsi pandangan. Dan sebarang soalan boleh diajukan di tempat komen. Terima kasih."
Comments
Post a Comment