Skip to main content

Diagnosis Bipolar II Disorder Menghidupkan Diriku Semula

AMARAN: Tulisan yang sangat panjang. Terima kasih jika sudi baca sampai habis. 😊

[Diagnosis Bipolar II Disorder Menghidupkan Diriku Semula]

Tarikh 8 September 2020 tidak akan saya lupakan. Tarikh saya didiagnosis dengan Bipolar II Disorder oleh pakar psikiatri yang merawat saya, Dr. Siti Hazrah di klinik psikiatri, Hospital Tunku Jaafar Seremban.

Mengimbas kembali pada tarikh itu, saya sukar untuk menerima diagnosis yang baru diberikan.

"Sayang tidak suka diagnosis bipolar II ini."

Itulah ayat pertama saya kepada suami selepas berjumpa doktor.

Saya menahan diri daripada menyuarakannya di hadapan doktor. Saya masih sangat terkejut dan tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan apa yang ada dalam fikiran.

Namun saya percaya doktor dapat merasakannya. Beria juga doktor meyakinkan saya bahawa Bipolar II ini bukan sesuatu yang buruk. Kata doktor, ramai orang di dunia ini yang hebat-hebat juga didiagnosis dengan Bipolar II Disorder.

Apa pun pesan beliau, saya perlu cuba dahulu mengambil ubat untuk rawatan Bipolar II selama dua minggu sebelum bertemu semula dengan beliau di temujanji seterusnya bagi melihat keberkesanannya. Beliau juga berpesan untuk saya membaca lebih lanjut tentang Bipolar II Disorder ini.

Selepas sesi luahan dengan suami sepanjang perjalanan dari klinik ke rumah, saya rasa lebih lega dan perlahan-lahan menerima. Ditambah dengan bacaan tentang Bipolar II Disorder, saya semakin boleh menerima kerana sememangnya saya ada segala simptomnya, sama seperti penerangan doktor.

Seminggu lebih berlalu dari tarikh itu, perubahan diri saya menjadi semakin ketara. Ketara sehingga dapat dirasai oleh suami dan ahli keluarga terdekat.

Diri saya yang dulu, lama dulu sebelum saya sakit seperti menjelma semula.

Fikiran saya jadi lebih damai.

Mungkin ketika itu merupakan episod hypomania saya.

Fikiran yang tidak boleh berhenti dari satu ke satu perkara dalam otak, perlahan-lahan dapat dikawal.

Saya juga berjaya menjadi fokus dalam melaksanakan tugasan.

Sifat gemuruh yang selama ini saya sangkakan sifat semulajadi sejak sekian lama, turut terawat sekali secara tidak langsung. Kereta yang sangat takut untuk saya pandu sejak pertama kali mendapat lesen selepas SPM 14 tahun yang dulu, akhirnya berjaya saya pandu di atas jalan raya!

Sesuatu yang tidak pernah saya sangka akan mampu juga saya lakukan.

Pada temujanji yang seterusnya, saya menceritakan segala perkembangan diri kepada doktor. Pertama kalinya saya rasa yakin dan tidak gugup di hadapan doktor. Selesa menjadi diri sendiri.

Doktor sangat gembira. Apabila doktor bertanya apa perasaan saya sekarang, dengan tidak sabar dan bersemangat saya memberitahu,

"Saya rasa HIDUP!"

Apabila saya mengingat semula kehidupan saya yang lampau, saya dapat menyambungkan titik-titiknya.

"Oh patutlah dulu aku begini begini."

Tidak dapat dipastikan berapa banyak episod depression dan hypomania silih berganti yang telah saya lalui sebelum ini.

Untuk diberi diagnosis Bipolar II Disorder, seseorang mestilah pernah melalui kedua-dua episod "depression" (kemurungan) dan "hypomania" (hipomania).

------------------------------------------------------------------------------------

KISAH DI MESIR

Dahulu ketika belajar di Mesir, memang ada tempohnya mood saya berada di tahap yang sangat rendah.

Hilang minat terhadap perkara yang dahulunya saya minat, rasa diri tidak berguna, selalu menyalahkan diri hampir tentang segala hal, hilang pengharapan, susah untuk tidur, kadang-kadang berlebihan tidurnya, sering rasa keletihan, tidak bersemangat dan kesedihan yang melampau.

Paling teruk, saya juga pernah ada idea untuk menamatkan nyawa sendiri.

Kebanyakan masa saya tidak meluahkan kepada sesiapa. Entah kenapa, saya selesa menangis sendiri. Saya tidak suka menunjukkan wajah sedih saya kepada orang.

Mungkin disebabkan itu, tiada siapa pernah menasihatkan saya untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

Saya sendiri, mudah melupakan episod depression ini kerana selepas beberapa lama saya kembali normal. Mood saya menjadi stabil.

Apa yang lebih lagi membuatkan saya lupa tentang episod depression sebelum itu apabila saya melalui episod yang "high". Bertentangan langsung dengan episod depression.

Mungkin ketika itulah saya mengalami episod hypomania yang saya sangkakan fasa hidup yang baik untuk diri saya.

Episod hypomania merupakan episod yang susah dikesan oleh sesiapa pun.

Hypomania dinamakan hypomania kerana ia mania versi yang kurang menonjol simptomnya. Hypo = kurang. 

------------------------------------------------------------------------------------

HYPOMANIA

Apa yang saya pernah alami antaranya, gembira dan bersemangat yang lebih daripada kebiasaan, fikiran yang tidak berhenti-henti, asyik hendak bercakap, mudah terganggu sehingga susah untuk fokus dan berbelanja berlebihan.

Bercerita tentang berbelanja berlebihan, saya seorang yang berjimat cermat dalam perbelanjaan. Ini sikap saya sejak kecil lagi.

Harga setiap barang yang ingin saya beli akan saya teliti dengan sebaiknya.Tambah pula ketika itu, saya mengalami masalah kewangan.

Namun dalam ingatan saya, memang ada waktunya semasa di Mesir dulu, tiba-tiba saya tidak kisahkan berapa banyak duit yang saya ada.

Waktu tersebut, saya suka pergi ke pasaraya berdekatan rumah biasanya seorang diri. Masuk, dan ambil apa sahaja yang saya fikirkan perlu dan saya inginkan. Masukkan sahaja ke dalam bakul tanpa berfikir, bayar dan tidak lagi membelek resit yang diterima.

Keluar dari pasaraya, tidak sah tanpa satu ke dua plastik bungkusan barang yang besar di kedua-dua belah tangan.

Beberapa hari selepas itu, timbullah sedikit sebanyak penyesalan walaupun barang yang dibeli kebanyakannya memang berguna. Cuma, ketidaktelitian dengan harga ketika itu sangat disesalkan. Sia-sia rasa berjimat cermat sebelumnya.

Pada tempoh itu juga, kemahuan untuk bersosial melonjak-lonjak naik. Saya akan ke rumah kawan-kawan saya. Bukan sebuah rumah. Biasanya lebih.

Jika tidak berziarah ke rumah, saya akan menghubungi kawan-kawan di telefon atau Yahoo Messenger. Sama juga, bukan seorang biasanya yang saya hubungi. Rasa tidak puas bercakap.

Fasa itu juga menyebabkan saya susah untuk memberikan fokus kerana sangat mudah terganggu dengan sebarang jenis gangguan, dan fikiran pula tidak berhenti-henti berfikir dari satu bab ke satu bab yang sukar dihentikan.

Nampak seperti fokus. Contohnya di dalam kelas ketika guru mengajar. Tetapi sebenarnya otak saya sudah menerawang entah ke mana.

Fokus ketika belajar sendiri apatah lagi. Sangatlah bergelut untuk menumpukan perhatian.

Seingat saya simptom Bipolar II yang silih berganti polar mood ini mula berlaku kepada diri saya seawal umur 18 tahun. Ketika awal pengajian saya di bidang perubatan lagi.

Namun tidak dapatlah kepastian yang sebenar kerana berkemungkinan juga sewaktu itu hanyalah pergolakan emosi yang biasa ketika remaja. Mungkin juga "culture shock", dalam proses mengadaptasi hidup di negara orang.

Melalui pembacaan saya, Bipolar II Disorder biasanya bermula di penghujung remaja atau awal dewasa. Namun diagnosis Bipolar II Disorder sukar dibuat awal.

Biasanya pesakit akan datang berjumpa doktor ketika episod depression dan akan diberi diagnosis Major Depressive Disorder (MDD).

Ketika episod hypomania jarang-jarang sekali pesakit akan bertemu dengan doktor kerana fasa itu fasa yang menyenangkan (pleasure). Maklumlah, hati melonjak gembira, badan lebih bertenaga dan bermacam idea menarik yang keluar untuk dilakukan.

Walaupun sebenarnya semua ini akhirnya akan memudaratkan pesakit.

Begitu juga dengan saya.

------------------------------------------------------------------------------------

LIMA MINGGU DI WAD PSIKIATRI

Saya juga terlebih dahulu didiagnosis dengan Major Depressive Disorder. Saya mula didiagnosis pada 13 Oktober 2017 ketika berkhidmat sebagai doktor pelatih di HTAA Kuantan.

Ketika itu depression saya berada di fasa yang teruk (severe).

5 minggu lamanya saya berada di dalam wad psikiatri dengan pelbagai jenis rawatan. Tidak dapat saya bayangkan perasaan ahli keluarga saya ketika itu.

Sudahlah tiba-tiba saja mendapat berita saya dimasukkan ke wad. Wad psikiatri pula itu.

Kemudian, lama pula keberadaan saya di dalam wad. Ibarat tiada harapan untuk sembuh.

Mungkin itulah "harganya" yang harus saya bayar kerana menyembunyikan perasaan terlalu lama.

Syukur Allah Taala mengurniakan saya ibu, adik-beradik dan ipar yang setia menyokong dan sentiasa mendoakan saya sepanjang tempoh itu.

Alhamdulillah dengan izin Allah, selepas rawatan dengan ubat-ubatan, psikoterapi, dan termasuk jugak terapi elekrokonvulsif (ECT) sebanyak enam kali, akhirnya saya dapat keluar dari wad dalam keadaan yang stabil.

Segalanya berlaku terlalu pantas bagi saya.

Tambah pula, saya mengalami “short term memory loss”, kehilangan memori jangka pendek kesan daripada ECT. Akibatnya banyak memori sepanjang di dalam wad saya langsung lupa.

Keluarga saya membawa kek sempena sambutan hari jadi adik bongsu perempuan saya pun langsung saya tidak ingat. Hanya tahu selepas diceritakan.

Memori saya kuat hanya pada tempoh awal kemasukan ke wad dan di hujungnya. Di pertengahan ada yang saya ingat tapi kebanyakannya saya lupa seperti tidak pernah berlaku.

Mungkin ada hikmahnya Allah Taala membuatkan saya lupa. Melihat laporan perubatan yang tertulis "multiple suicidal attempt in ward", percubaan membunuh diri berkali-kali di dalam wad, tidak mampu saya bayangkan apa yang saya lakukan ketika itu.

Semenjak itulah, saya tidak putus menghadiri temujanji di klinik psikiatri. Mulanya di HTAA Kuantan, kemudian di HTJ Seremban selepas saya berkahwin sehinggalah sekarang.

------------------------------------------------------------------------------------

MELETAK JAWATAN

Selepas keluar dari wad 24 November 2017, saya cuba untuk masuk kerja semula seperti biasa. Namun saya terlalu gemuruh (anxious). Saya mendapat sijil cuti sakit seminggu ke seminggu.

Lama kelamaan saya rasa tidak adil untuk saya berterusan begitu. Mungkin semangat untuk meneruskan telah hilang ketika itu.

Akhirnya saya memutuskan untuk melepaskan jawatan saya.

Saya masih ingat lagi hari saya meletakkan jawatan, lama saya duduk seorang diri di gazebo bersebelahan bangunan letaknya Bahagian Sumber Manusia. Duduk mempertimbangkan kali terakhir keputusan saya itu.

Bercampur-baur perasaan.

Selepas sedekad lamanya berjuang mendapatkan sijil kedoktoran, kemudian ditambah tempoh hampir setahun untuk mendapatkan tempat untuk latihan housemanship, sudah tentu rasa berat untuk melakukannya itu ada.

Sewaktu menyerahkan surat perletakan jawatan 24 jam itu, saya sertakan niat dalam hati untuk kembali berkhidmat suatu hari nanti.

Hari itu, saya bukan saja meletakkan jawatan, saya juga meletakkan harapan walau dalam ketidakpastian.

Apa yang saya fikirkan waktu itu, saya hanya ingin berehat.

Saya sudah terlalu penat.

Pakar psikiatri yang merawat saya ketika itu, Dr. Tan juga tidak menghalang keputusan saya. Saya juga memberitahu ahli keluarga terlebih dahulu. Mereka sangat memahami dan menyokong apa pun keputusan saya.

Sepuluh bulan selepas itu, saya bertemu jodoh dengan suami. Hanya tiga bulan selepas berkahwin iaitu pada Februari 2019, serangan depression datang semula (relapse).

Datang semula fikiran untuk mencederakan diri dan tidak mahu hidup lagi. Jenis ubat ditambah semenjak itu dan keadaan saya kembali stabil.

Saya stabil. Namun tiada peningkatan hidup yang jelas dalam hidup saya. Saya sendiri adakalanya serabut memikirkan tentang diri sendiri.

Masih ada masanya saya bergejala "depression", tapi tidak terlalu teruk. Fikiran yang tidak berhenti-henti, perasaan mudah terganggu dan semangat luar biasa yang tiba-tiba datang, ada masanya juga terjadi.

Namun masih tidak menyebabkan saya mencari punca.

Faktornya mungkin kerana saya sudah biasa mengalaminya. Saya fikir itu memang sikap normal untuk saya. Biasalah bagi saya, ada masa mood di bawah, ada masanya pula di atas.

Maka ketika bertemu dengan doktor, tiada apa sangat yang saya diceritakan. Secara umumnya keadaan saya kelihatan baik-baik sahaja.

Saya meneruskan pengambilan ubat seperti biasa dan menjalani hidup juga seperti biasa.

------------------------------------------------------------------------------------

DIAGNOSIS BIPOLAR II DISORDER

Sehinggalah pada Ogos 2020, saya tergerak hati mengikuti live bersama Dr Hazli Zakaria, seorang pakar psikiatri tentang ADHD dewasa. Meremang bulu roma saya mendengarkan simptom-simptom yang sangat kena dengan diri saya.

Kebetulan pula ketika itu, saya sedang melalui episod hypomania. Persamaan simptom terutamanya fikiran yang tidak boleh berhenti dan masalah tidak boleh fokus, meyakinkan kemungkinan saya ada kaitan dengan ADHD dewasa.

Saya baru tersedar yang ada yang tidak kena dengan diri saya selain MDD.

Di situlah bermulanya saya menceritakan kepada doktor, simptom hypomania yang saya sedang alami ketika itu dan pernah saya alami dahulu dan saya mengaitkan dengan ADHD dewasa seperti yang saya dengar sebelumnya.

Doktor menyuruh saya terlebih dahulu membuat ujian saringan ADHD dan doktor memberikan percubaan rawatan ADHD dewasa kepada saya yang ternyata tidak serasi.

Akhirnya doktor mendiagnosis saya dengan Bipolar II Disorder berdasarkan ilmu dan pengalaman beliau dan simptom yang ada pada diri saya.

Simptom ADHD dewasa dan Bipolar II Disorder memang sering mengelirukan.

Doktor pernah memberitahu, kadang-kadang beliau berharap sakit psikiatri ini seperti sakit medikal yang boleh diuji di makmal, agar jelas bukti penyakitnya.

Bermacam jenis ubat pernah doktor psikiatri priskripsikan kepada saya sejak Oktober 2017 sehingga September 2020.

Akhirnya bertemu juga dengan ubat yang paling sesuai untuk merawat keadaan saya selepas hampir 3 tahun.

Baru saya tersedar selama ini, mungkin selama 14 tahun lamanya, saya tidak hidup dengan begitu normal seperti orang lain. Bipolar II Disorder ini telah menghalang saya untuk berfungsi normal sepenuhnya pada setiap waktu.

Episod depression dan episod hypomania ini telah mengganggu saya untuk hidup dengan sepatutnya.

Saya sangat bersyukur. Bagaikan mendapat semula hidup saya yang telah lama hilang.

Biar pun lambat, apa yang penting saya sudah pun dapat dirawat dengan baik dan kehidupan saya lebih baik sekarang.

Alhamdulillah.

------------------------------------------------------------------------------------

Pada kesempatan ini saya ingin menyeru sesiapa sahaja yang ada masalah kesihatan mental, untuk terus mendapatkan rawatan tanpa berputus asa.

Berkomunikasi dengan doktor secara baik. Gunakan peluang ketika temujanji untuk bertanya dan berbincang.

Jika dirasakan ubat yang diterima masih tidak membantu, suarakan kepada doktor. Jangan berhenti mengambilnya tanpa nasihat doktor.

Insya-Allah cepat atau lambat, pasti ada jalannya.

Kepada sesiapa yang menyedari dirinya atau orang terdekat dengannya ada tanda-tanda masalah berkaitan kesihatan mental, cepat-cepatlah dapatkan rawatan sewajarnya.

Jangan dibiarkan berlama-lama seperti saya. Bimbang keadaan akan menjadi semakin buruk.

Jangan memendam perasaan sendirian. Luahkan dan dapatkan bantuan sekiranya perlu. Jika dirasakan ada yang tidak kena dengan diri, segeralah bertanya dan mencari puncanya.

Sakit mental sama juga dengan sakit fizikal. Perlukan rawatan dan sokongan yang sepatutnya.

Orang sekeliling juga perlu berperanan dan tidak bersikap prejudis terhadap pesakit mental.

Percayalah, pesakit mental boleh hidup dengan baik dan berfungsi dengan normal sama seperti orang lain dengan rawatan dan sokongan yang betul.

------------------------------------------------------------------------------------

Doakan saya ya, agar dapat terus hidup dengan lebih baik. Saya masih meneruskan rawatan dengan ubat-ubatan dan bertemu doktor secara berkala.

Selain ubat, saya juga perlu menjaga waktu tidur saya dan sentiasa mengawasi mood saya sehari-hari.

Sampai hari ini, belum ada rawatan yang mampu menyembuhkan sepenuhnya Bipolar II Disorder. Rawatan hanyalah untuk mengawal mood yang tidak stabil.

Namun saya percaya, kesembuhan itu milik Allah Taala. Manusia terbatas hanya merawat, tetaplah Allah Taala yang Maha Berkuasa dan Maha Menyembuhkan.

Jadi tugas kita adalah untuk terus berusaha tanpa berputus asa. Insya-Allah.

Terima kasih kerana membaca sehingga akhir.

Saya ada Bipolar II Disorder dan saya mampu menjalani hidup dengan baik. 🤗

Ami Farhani
Sri Cendana
14 Jun 2021

*Gambar bertarikh 23 September 2020, 15 hari selepas diberi diagnosis Bipolar II Disorder*

Nota:
Bipolar Disorder ada 2 jenis iaitu Bipolar I (satu) dan Bipolar II (dua), bergantung kepada simptom yang dialami.

#masihmanusia
#bipolarIIdisorder
#mentalhealthawareness
#kesedarankesihatanmental

Comments

Popular posts from this blog

Flash Ho Induction

Copy & paste daripada post facebook saya pada 6 Januari 2022 https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10219682000576911&id=1124136785 ------------------------------------------------------- Pada hari Jumaat, 31 Disember minggu lepas saya menyertai #flashHOinduction anjuran Medicorp yang disampaikan oleh Dr. Iliana Mohamad. Terdapat 3 sesi pada hari tersebut dan akan disambung 1 sesi lagi pada hari esok.  Saya menyertai kursus induksi ini dengan niat menolak diri untuk memulakan persiapan memasuki housemanship akan datang. Maklumlah sudah lebih 4 tahun saya meninggalkan housemanship yang satu posting pun tidak berjaya dihabiskan itu. 😂 Proses permohonan semula saya sudah sampai ke peringkat akhir. Tinggal menunggu panggilan ehousemen sahaja lagi untuk pemilihan hospital.  Doakan saya ya. Ada masanya masih terfikir betul atau tidak hendak mencuba semula.  Saya yakin kebanyakan orang akan meragui, mampukah untuk praktis setelah sekian lama meninggalkan segala knowledge dan ski

Proses Yang Kian Ke Penghujung

Saya telah selesai menjalani sesi penilaian panel kajian semula perubatan (Medical Review Panel) dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada 28 Julai yang lalu secara atas talian dan telah pun mendapat keputusannya melalui surat yang diterima pada 22 Oktober baru-baru ini. Alhamdulillah, keputusannya MMC membenarkan untuk saya meneruskan permohonan perlantikan semula sebagai pegawai perubatan siswazah dengan beberapa syarat yang dinyatakan. Secara asasnya, syarat yang dikenakan ialah saya perlu melaporkan kepada MMC setelah masuk berkhidmat nanti selepas beberapa tempoh yang ditetapkan. Saya juga telah memberi maklum balas kepada bahagian sumber manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keputusan MMC ini seperti yang diarahkan. Saya diminta untuk mengemas kini maklumat di portal SPA9 dan kemudian perlu menunggu sahaja untuk melepasi tapisan SPA. Setelah melepasi tapisan SPA, barulah saya boleh masuk ke sistem E-Houseman untuk pemilihan hospital mengikut panggilan yang diber

Menemani Suami

Petang hari ini menemani suami ke Kuala Pilah membawa penumpang warga Indonesia yang pulang ke tempat kerjanya. Kami mengambilnya dari Nilai terus ke Kuala Pilah. Suami meminta izin untuk membawa isteri bersama kerana perjalanan pulangnya seorang diri. Perjalanan sejauh kira-kira 70km dari tempat diturunkan Ali, penumpang tersebut ke rumah kami. Ali dan dua orang kawannya sebelumnya pernah mengambil khidmat suami untuk ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Perjalanan pulang hari sudah pun gelap. Sempatlah kami singgah makan dan solat sebelum sampai ke rumah. Seronok sepanjang perjalanan pulang kerana dapat meluangkan masa bersembang bersama. "Feel" berborak di dalam kereta berbeza dengan di tempat lain. Beginilah pengalaman suami sebagai seorang pemandu. Sesekali saya dapat juga merasakan pengalaman itu. Suatu hari nanti pasti akan jadi kenangan yang tidak akan dilupakan. Dengan pengalaman ini juga menurut suami menjadikannya lebih cekap memandu lagi pula di tengah bandaraya